Apabila Sejarah Silam Tidak Jadi Pengajaran

ARKIB : 11/04/2010

Apabila sejarah silam tidak jadi pengajaran
(Oleh: Mazlan Nordin; Ruangan Kolumnis Utusan Malaysia)

PELBAGAI dugaan dihadapi oleh warga Islam di beberapa negara Eropah dewasa ini. Berlaku di Warsaw, ibu negara Poland pada minggu lalu adalah demonstrasi membantah pembinaan sebuah masjid di pinggir kota itu.

Walhal bilangan warga Islam di negara itu tidak sampai 30,000 orang dan 90 peratus daripada 38 juta penduduknya penganut Katholik. Menurut laporan agensi berita luar negara seorang penunjuk perasaan membawa sepanduk yang menggambarkan menara masjid sebagai peluru berpandu.

Sebelum itu sebuah jawatankuasa Parlimen Belgium sebulat suara mengundi mengharamkan pemakaian burqa dan niqab di khalayak ramai. Di Switzerland rakyat disaran mengundi mengharamkan pembinaan menara masjid.

Sebelum itu pula harian akhbar Jyllands-Posten menyiarkan 12 kartun yang mengejek Nabi Muhammad SAW. Bantahan daripada beberapa negara dan golongan Islam ditolak atas alasan mahu menegakkan kebebasan berbicara seperti dinyatakan oleh ketua jabatan pengarang akhbar itu: ''Kami hidup dalam negara demokrasi dan karya jolokan dibolehkan.''

Bilangan warga Islam di Denmark kira-kira 150,000 saja, iaitu 2.8 peratus dari jumlah penduduk. Majalah Gatra di Jakarta melaporkan kenyataan Ahmad Furqan Noor, Ketua Perhimpunan Masyarakat Islam Indonesia di Denmark mengenai perubahan sikap pihak berkuasa. Contohnya, seorang warga Islam dan orang asing mesti punyai 50,000 krone jika mahu menikahi warga Denmark.

Lain hal berlaku di Serbia minggu lalu apabila Parlimennya meluluskan usul mengutuk pembunuhan seramai 8,000 warga Islam di Srebenica pada tahun 1995 semasa meletusnya Perang Bosnia.

Bertugas di situ waktu itu ialah 400 askar Belanda sebagai tentera pendamai Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Menurut sebuah laporan akhbar Times, London kemudiannya: ''Pembunuhan beramai-ramai itu meninggalkan kesan mendalam pada rakyat Belanda hingga menyebabkan kerajaan Belanda waktu itu meletakkan jawatan setelah terbit laporan yang menegur kerajaan kerana menempatkan askar-askar Belanda dalam keadaan paling sukar.

Bantuan

"Kerana tiadanya bantuan tentera udara, maka mereka tidak dapat bertindak manakala askar-askar Serbia mengasingkan lelaki dewasa dan budak lelaki daripada isteri dan ibu mereka. Mereka dipaksa menaiki lori dan kesemuanya dibawa ke tempat pembunuhan.

"Kerajaan Belanda kemudian menyekat permohonan Serbia untuk menyertai Kesatuan Eropah. Dalam pada itu Jeneral Retko Mladic yang mengetuai laskar Serbia masih bebas.'' Demikian laporan akhbar Timur pada 19 Jun 2008.

Laporan itu mengulas tuntutan para isteri dan ibu kepada 8,000 mangsa korban pembunuhan itu supaya PBB memberi bantuan wang. Mereka menuntut ganti rugi sejumlah 2 bilion pound.

Pembunuhan 8,000 orang itu pun dicop sebagai Srebenica Genocide. Ia diakui sebagai pembunuhan beramai-ramai paling kejam selepas tamat Perang Dunia Kedua.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa bersidang pada 2007 di The Hague, Belanda. Keputusannya berbunyi: ''Mahkamah memutuskan bahawa tindakan-tindakan di Srebenica telah dilakukan khusus untuk membinasakan orang Islam dan dengan itu berlaku pembunuhan beramai-ramai.''

Mahkamah Antarabangsa itu juga memutuskan bahawa pihak berkuasa Serbia gagal menyekat pembunuhan beramai-ramai itu. Lalu dicatit seterusnya: ''Juga menjadi korban ialah kanak-kanak, para wanita dan orang-orang tua.'' Suruhanjaya yang mengira jumlah orang menjadi korban mencatat 8,373 nama.

Keputusan Parlimen Serbia yang mengutuk pembunuhan itu tidak menyebut perkataan genocide. Usul yang diluluskan itu dianggap sebagai usaha baru pihak berkuasa Serbia supaya diterima menjadi anggota Kesatuan Eropah.

Seperti diketahui, seorang lagi ketua pihak Serbia, Radovan Karadzic, telah ditangkap dan sedang dibicarakan di The Hague. Masih bebas ialah General Ratko Mladic yang mengepalai laskar Serbia.

Setelah 15 tahun berlalu sejak pembunuhan beramai-ramai itu maka kini berlaku pula demonstrasi anti-pembinaan masjid, larangan bertudung di khalayak ramai, larangan membina menara masjid dan pelbagai kartun mengejek nabi.

Timbul pertanyaan, apakah ini caranya manusia belajar dari sejarah silam?

Tanpa Islam Eropah Tidak Akan Wujud

ARKIB : 18/04/2010
Tanpa Islam Eropah tidak akan wujud(Oleh: Mazlan Nordin; Ruangan Kolumnis Utusan Malaysia)

TANPA Islam, Eropah tidak akan wujud. Demikian salah sebuah makalah dalam buku berjudul Eropah: 50 fakta yang perlu diketahui. Lalu disebut betapa Islam pada masa lampau memerintah negara Sepanyol selama 800 tahun.

Buku ditulis oleh Emma Hartley. wartawan dan penulis yang telah bertugas dengan empat buah akhbar bahasa Inggeris - Daily Telegraph, Evening Standard, The Independent dan Times, London.

Sorotan mengenainya bermula dengan kisah Abu Abdullah, Raja Islam yang terakhir di Sepanyol manakala menunggang kuda dan berhenti di puncak sebuah bukit lalu memandang dari jauh bumbung Istana Alhamra. Ia berlaku pada abad ke-15 setelah tenteranya ditewaskan oleh laskar Raja Ferdinand dan Permaisuri Isabella.

Wajahnya begitu sedih dan ia menangis ketika memandang ke arah tempat tinggal nenek moyang yang dulu memerintah Andalusia sebegitu lama.

Ibu yang mengiring memarahinya: “Menangis, menangislah kau seperti betina kerana kau tak dapat mempertahannya seperti anak jantan.’’

Dalam pelbagai buku dunia Barat nama yang disebut ialah Boabdil. Para penulis tidak menyebut nama Abu Abdullah. Hal tersebut berupa satu penghinaan.

Menurut Emma Hartley, pemerintahan Islam selama 800 tahun itu sesuatu yang “terbaik sekali”. Kerana waktu itu Eropah mengalami Dark Ages manakala dunia Islam telahpun memiliki pelbagai perpustakaan yang menyimpan karya-karya sastera, mempraktik ilmu-ilmu kejuruteraan, perubatan dan lain-lain jurusan sains.

Seperti ditulis oleh Hartley: In many ways Europe is a product of Islam.

Lantas dicatat pendapat Dr. Tim Winter dari Universiti Cambridge: “Eropah yang kita kenali tidak mungkin lahir tanpa Islam. Bentuk rupa pelbagai bangunan berasal dari tenaga tukang-tukang bina mereka. Pelbagai teknik termasuk pemasangan cermin-cermin jendela yang cantik berasal dari mereka juga.

Begitu juga pelbagai jenis kain, permaidani, pembikinan kertas tulis, pembinaan hospital-hospital serta buku-buku teks perubatan dalam bahasa Arab.’’

Dr. Winter juga menyebut peranan Thomas Aquinas yang mengembangkan falsafah Barat: “Beliau menyebut pengarah tokoh yang dipanggil The Philosopher, iaitu Aristotle dan pengarah The Commentator iaitu Ibni Rushd yang menulis pelbagai pendapat Aristotle.

Tingkah-laku

Lihat saja tingkah-laku pembesar Inggeris bila bangun pagi lalu minum kopi yang berasal dari Turki. Kakinya melangkah permaidani Turki atau Parsi.

Beberapa ekor kuda kepunyaannya dibawa sejak abad ke-18 dari negara Arab. Jika sembahyang di gereja ia melakukannya dalam bangunan besar ciptaan idea dunia Islam”.

Seperti telah dicatat dalam buku sejarah, Sepanyol ditawan semula oleh golongan Kristian pada tahun 1492. Warga Yahudi dan Islam kemudian dipaksa menukar agama mereka. Kerana itu ramai membawa diri ke negara-negara lain termasuk di Afrika Utara, Mesir dan Turki.

Berlaku kemudiannya adalah Spanish Inquisition. Yang dicurigai keteguhan agama, mereka disiksa dan jika sabit kesalahannya maka dibakar hidup-hidup.

Abu Abdullah (Boabdil) mati di Afrika Utara dalam satu perjuangan lain. Mengenai nasib malangnya dikatakan: “Ia menjadi korban dalam satu perjuangan lain sedangkan dulunya ia mengelak maut dalam perjuangannya sendiri.’’

Pemberontakan berlaku di kalangan rakyatnya kerana ia berunding menyerah-kalah kepada Ferdinand dan Isabella.

Juga menjadi bahan cerita adalah catatan seorang sejarawan Barat bertajuk: Naik dan jatuhnya syurga dunia: Manakala Arab dan Yahudi bersama membina negara di Sepanyol. Lalu diceritakan: “Manakala Tuhan mengisi tempat-tempat kosong di alam semesta, Al-Andalus memohon lima kurniaan - langit biru, lautan cantik penuh dengan ikan, pohon-pohon buahan, wanita-wanita cantik dan sebuah kerajaan yang adil. Kesemuanya dikurniai kecuali yang terakhir. Sebabnya, jika yang lain-lain dikurnai beserta sebuah kerajaan adil, maka Andalusia akan menyaingi syurga’’.

Disebut antara lainnya adalah pengaruh Arab dalam muzik flamenco Sepanyol. Lalu muncul muzik Hispano-Arab. Tidak ada paksaan dalam pemerintahan Islam bersabit agama.

Menurut laporan Ayan Bayaumi, seorang penulis Mesir dalam sebuah akhbar Amerika, warga Islam di Britain telah meningkat hingga 1.6 juta, di Itali satu juta dan di negara Perancis antara 4 hingga 5 juta.

Lain negara, lain kisah, dugaan dan cabaran. Namun, ada kalanya penulis bukan Islam membela mereka.