Barack Obama dan Sejarah Hamba Abdi

ARKIB : 20/12/2009



WAJAR dibaca oleh ahli-ahli politik, terutama di negara-negara yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai golongan etnik, warna kulit, bahasa, budaya dan agama. Buku tersebut berjudul The Audacity of Hope ditulis oleh Presiden Barack Obama.

Lalu pada peringkat permulaan beliau menceritakan pengalaman dirinya ketika mula menceburkan diri dalam golongan politik dan kerap ditanya: “Dari mana kau dapat nama lucu kau tu?” Ini diikuti dengan pertanyaan: “Kau orang baik nampaknya. Kenapa mahu menceburi sesuatu yang kotor dan jijik seperti dunia politik?”

Obama adalah Presiden Africa-Amerika yang pertama di Amerika. Hanya di Amerika boleh berlaku sedemikian yang majoriti besar rakyatnya kulit putih. Tetapi beliau bukan keturunan hamba abdi bangsa Afrika yang dibawa secara paksa ke Amerika pada zaman lampau.

Ayahnya berasal dari Kenya yang telah merdeka dan ibunya kulit putih dan ia lahir di Honolulu pada tahun 1961. Juga diceritakan betapa pada peringkat pertama kempen politiknya beliau mengadakan sidang akhbar untuk para wartawan, tetapi “tiada siapa datang.” Namun, beliau terus berjuang sebagai penyokong Parti Demokrat. Pelbagai cerita, yang baik dan sebaliknya diceritakan, termasuk yang berikut:

“Pada awal tahun 2005, majalah Newsweek menyiarkan tuduhan-tuduhan bahawa para pengawal dan pemeriksa pusat tahanan penjara Guantanamo Bay telah menggesa dan menyalahgunakan kuasa ke atas tahanan, antara lain membuang sebuah al-Quran ke dalam tandas.

Rumah Putih menegaskan bahawa cerita itu tidak benar sama sekali. Tanpa dokumentasi dan akibat bantahan-bantahan ganas di Pakistan, maka Newsweek terpaksa menarik balik laporannya itu.

Beberapa bulan kemudiannya, pihak Pentagon mengedarkan laporan bahawa beberapa pegawai Amerika di Guantanamo telah melakukan beberapa tindakan tidak sewajarnya”.

Mengenai politik pula Presiden Obama menyebut mengenai pengaruh Parti Republikan di bahagian Selatan Amerika. Dua orang senator parti itu dari Wilayah Wyoming dan penduduk hanya seramai 493,782 orang menang iaitu menyamai dua Senator Parti Demokrat di Wilayah California yang penduduknya sejumlah lebih 30 juta orang

Pengalaman

Presiden Obama mengulangi suatu kenyataan senator-senator pada tahun pertama pengalaman mereka: “Seperti minum air dari saluran paip bomba”.

Juga diceritakan ialah pengalamannya semasa kanak-kanak 7-8 tahun di Indonesia dengan 17,000 pulau dan penduduk sejumlah 240 juta, iaitu yang keempat paling ramai dalam dunia selepas negara China, India dan Amerika Syarikat. Indonesia juga negara yang mempunyai penduduk Islam paling ramai sekali dalam dunia.

Presiden Obama lalu menyatakan harapan untuk kemudian melawat Indonesia dengan kedua-dua anaknya, “tetapi saya bimbang bahawa negara semasa saya kanak-kanak dulu itu tidak sama kini dengan segala kenangan diri saya, Indonesia dirasai begitu jauh kini dari keadaan 30 tahun dulu”.

Juga dicatat ialah keadaan warga Afrika-Amerika. Golongan yang kaya-raya kecil sekali. Di samping itu tiap warga kulit hitam dan ahli perniagaan di Chicago, umpamanya, boleh bercerita panjang mengenai halangan-halangan yang mereka hadapi kerana warna kulit mereka.

Gaji warga kulit hitam kira-kira 75 peratus gaji kulit putih. Gaji warga Latino pula 71 peratus gaji kulit putih. Bila dibuang kerja, maka warga kulit hitam dan Latino tidak punyai simpanan wang yang banyak. Ibu bapa tidak begitu berupaya menolong anak-anak mereka.Malah golongan kelas menengah kulit hitam dan Latino membayar lebih untuk insurans dan tidak begitu mampu memiliki rumah sendiri serta kurang sihat berbanding warga kulit putih.

Melalui kempen politiknya Obama mahu mengubah keadaan. Ini, antara lain kerana berdampingan dengan rakyat biasa yang tetap berazam dan optimis dalam menghadapi masa depan mereka.

Beliau kini berharap menjadi manusia lebih berguna “kepada keluarga saya dan rakyat yang telah memilih saya dan dengan itu mewariskan kelak kehidupan lebih baik bagi anak-anak kita”.

Obama bercerita pada waktu malam dulu ia sering mengunjungi tugu-tugu peringatan silam di Washington. Beliau telah membaca Gettysberg Address, pidato bersejarah Presiden Limcoln yang membebaskan hamba abdi kulit hitam di masa Perang Saudara di Amerika dulu.

“Jiwa saya penuh dengan kasih sayang kepada negara ini.” Presiden Obama menambah.

.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan