Penyata Razak dan Era Baru Bahasa Melayu

ARKIB : 16/05/2010



SEORANG pegawai Inggeris bernama Arthur Noel Kenion berucap dalam sidang Federal Council Federated Malay States dalam masa penjajahan pada tahun 1915 lalu memberi nasihat mengenai cara-cara yang terbaik sekali untuk mengajar dan mendidik orang Melayu.

Beliau berkata “Kita boleh ajar orang Melayu supaya terus ke sawah padi dan tidak kehilangan kebolehan dan kecekapan mereka sebagai nelayan serta bekerja di hutan. Ajar mereka kelebihan bekerja sebagai buruh kasar dan bukan menjadi kerani dan dengan itu saya yakin kita tidak akan menghadapi kerumitan seperti telah timbul di India iaitu akibat persekolahan yang berlebih-lebihan.”

Kenyataannya dalam bahasa Inggeris dicatat dalam sebuah makalah berjudul Perkembangan Bahasa Melayu oleh Haji Hamdan bin Sheikh Tahir, seorang pegawai kanan Kementerian Pelajaran yang kemudian menjadi Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.

Beliau antara lain menyentuh laporan Razak tahun 1956 yang dianggap sebagai perolehan penting kerana menjadi asas dasar pelajaran yang meningkatkan taraf dan pekerjaan dalam bahasa Melayu.

Berbeza sekali dasar pelajaran itu daripada anjuran Kenion yang merendahkan bahasa Melayu dan sikap pihak penjajah umumnya terhadap pendidikan bagi orang Melayu. Malah, sikap sama berlaku di sekolah-sekolah bahasa Inggeris dulu yang “tujuan hanya untuk mengajar anak-anak muda kita belajar membaca dan menulis dengan baik supaya boleh menjadi kerani pejabat.”

Makalah Hamdan (Kemudian dikurnia kehormatan Tun) dikenang kembali bagi yang menghadiri Majlis Penyerahan buku Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia kepada Perpustakaan Tun Abdul Razak pada hari Isnin lalu.

Ia disampaikan oleh Naib Canselor UKM Profesor Tan Sri Dato’ Dr. Sharifah Hapsah kepada Ketua Arkib Negara, Dato’ Haji Sidek.

Nasional

Seperti disebut oleh Tun Hamdan lagi, sejumlah 20 cadangan penting diajukan dalam penyata Razak itu yang mewujudkan sistem pendidikan yang bersifat nasional kerana berdasarkan bahasa kebangsaan dan di samping itu mengekalkan pelbagai bahasa dan budaya lain.

Juga kembali dalam ingatan ialah karya Prof. Asmah Haji Omar berjudul The Teaching of Bahasa Malaysia in the Context of National Language Planning (Dewan Bahasa dan Pustaka 1976).

Lalu disebut autobiografi Hikayat Abdullah oleh Abdullah bin Abdul Kadir Munshi (1796-1854), sahabat karib Sir Stamford Raffles. Menurutnya tidak perlu mengajar bahasa Melayu bagi orang Melaka kerana ia bahasa mereka sendiri.

Abdullah menulis “.... pada fikiran orang-orang sekalian, tidak patut dipelajari akan bahasa Melayu itu, sebab ia itu bahasa kita sendiri. Dan lagi pula, daripada zaman nenek moyang pun tiada pernah pula orang menaruh tempat belajar bahasa Melayu, melainkan tempat mengaji Quran sahaja. Dan patut dibelajarkan bahasa Arab kerana iaitu berguna kepada agama dan lagi dalam akhirat dan lagi bahawa itu sahaja yang terlebih mulia di antara orang Islam.

Profesor Asmah menegaskan betapa jawatankuasa Razak memberi nilai ekonomi kepada bahasa Melayu kerana beberapa faktor, antaranya:

l Pengetahuan bahasa Melayu menjadi syarat yang diperlukan bila memohon kerja dalam perkhidmatan kerajaan.

l Kelulusan dalam bahasa Melayu menjadi syarat bagi para pelajar ke sekolah menengah dan juga wajib dalam kesemua peperiksaan kerajaan.

l Pengetahuan bahasa Melayu menjadi syarat bagi seseorang yang memohon bantuan kewangan pelajaran.

l Bahasa Melayu juga menjadi mata pelajaran yang penting dalam latihan para guru.

Disebut selanjutnya betapa bahasa Melayu tidak begitu lama menjadi lingua franca di Malaysia dan di seluruh nusantara Indonesia. Bahasa Melayu juga telah menjadi bahasa kebangsaan Indonesia dengan nama lain. Lalu bahasa Indonesia berjaya menjadi bahasa kebangsaan Republik Indonesia. Maka dengan itu Penyata Razak 1956 berupa “permulaan era baru bagi Bahasa Malaysia.”

Bagi kesemua ialah sesuatu yang ditegaskan pada ayat akhir laporan Education Committee 1956: “Our recommendations are unanimous and are supported without reservations by all of us.”

Ahli-ahlinya terdiri daripada Dato’ Abdul Razak, Menteri Pelajaran sebagai pengerusi. V.T. Sambanthan (Menteri Buruh), Suleiman bin Dato’ Abdul Rahman (Menteri Kerajaan Tempatan), Abdul Aziz bin Haji Abdul Majid (Menteri Besar Selangor), Shamsudin bin Nain (Menteri Besar Negeri Sembilan), Too Joon Hing (Timbalan Menteri Pelajaran).

Abdul Rahman bin Haji Talib (Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan), Zainul Abidin bin Sultan Mydin, Dr. Lim Chong Eu (kemudian Ketua Menteri Pulau Pinang), Encik Abdul Hamid Khan (kemudin Menteri Pelajaran) Goh Chon Yan, Mohamad Ghazali Jawi (kemudian Menteri Besar Perak), Lee Thean Hin, Mohamad Idris bin Mat Sil, Leung Cheung Ling.

.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan