Raja Medan Selera

ARKIB : 06/08/2014

Tahniah Taib Ali - raja medan selera negara!

Taib Ali bergambar dengan kakitangannya selepas majlis doa selamat pembukaan medan selera Quizinn Foodcourt by Rasa di klia2 baru-baru ini. Medan selera itu berkeluasan 24,000 kaki persegi.
MOHD. Taib Ali hanyalah seorang Melayu yang biasa. Berkelulusan dalam bidang perakaunan ITM pengambilan 1973 - dia cukup versatil.

Sebagai alumni institusi itu, beliau tidak lokek ilmu. Di masa luangnya, Taib kerap bertemu dengan para pelajar dari masa ke masa bagi mencurahkan ilmu keusahawanan kepada anak bangsanya.
Kita kena asuh mereka, katanya yang kelihatan tidak makan usia pada umurnya 59 tahun.
"Jika setiap alumni yang berjaya, dapat pergi ke kampus dari semasa ke semasa bertemu dengan para pelajar, berkongsi pengalaman, berjabat tangan di hari graduasi mereka, saya yakin siswazah itu akan menjadi seperti kita."

Itu kata-katanya semasa saya bertemu dengannya tengah hari semalam.
Selaku aktivis alumni UiTM, saya cukup kagum dan hormat dengan cara Taib.
Saya dijemput beliau ke majlis doa selamat pembukaan food courtnya yang kelima di pusat beli-belah premium terbaharu ibu kota iaitu Nu Sentral @ KL Sentral.
Sebelum Ramadan lalu saya juga dijemput ke majlis yang sama - pembukaan food courtnya seluas 24,000 kaki persegi di klia2.

Dalam masa kira-kira dua bulan, beliau membuka dua food court yang cukup besar di dua tempat yang hebat membabitkan pelaburan berjumlah RM13 juta.
Beliau juga menguruskan medan selera terkenal di tingkat 4 Suria KLCC.
Taib turut menguruskan medan selera di pusat beli-belah Alamanda, Putrajaya serta menguruskan sembilan medan selera di pusat beli-belah Mydin.
Projek Taib yang akan datang ialah menguruskan food court di pusat pembangunan ultra-moden milik UDA Holdings di tapak penjara Pudu serta di projek pembangunan Menara Warisan milik PNB di Stadium Merdeka.

Jenama food court beliau dikenali sebagai Quizinn Foodcourt by Rasa. Beliau juga memiliki pusat peranginan, Rumbia Resort Villa di Paka, Terengganu.
Taib berjaya dalam bisnes setelah diberi kepercayaan menguruskan ruang medan selera di aras 4, Suria KLCC Shopping Centre. Ekoran itu beliau terlibat dalam lebih 20 restoran dan projek medan selera berskala besar termasuk di pusat beli-belah The Curve dan Recezz Taylor's University College.
Oleh itu, tidak keterlaluan jika saya berani menggelar beliau sebagai 'King of food courts' atau 'Raja medan selera Malaysia'.

Medan selera yang beliau uruskan itu bukan medan selera ala majlis perbandaran, tetapi medan selera yang premium dan moden.

"Saya lari sana-sini untuk uruskan pembukaan ini. Semua harus diteliti. Pelaburannya bukan kecil. Setiap pembukaan membabitkan kos antara RM3 ke RM4 juta."

Beliau membawa saya meninjau ke setiap ruang niaga di medan selera itu.

Daripada mesin wang yang datanya boleh disambung terus ke telefon bimbit, sistem dapur, sistem kamera litar tertutup, sistem saluran gas memasak, bilik mencuci pinggan dan stor barangan berpusat yang semuanya diuruskan oleh syarikatnya Wesria Food Sdn. Bhd.

Wesria yang diasaskan oleh Taib selaku pengarah urusan sejak 1999 kini adalah syarikat pengurusan makanan dan minuman (F&B) terkemuka negara bagi medan selera premium. Perolehan tahunan syarikat berjumlah sekitar RM20 juta.

"Peniaga hanya uruskan masakan mereka sahaja, yang lain akan diuruskan oleh kira-kira 300 kakitangan saya."

Pemilihan penyewa ruang niaga makanan itu dipilih beliau dengan cukup teliti.

"Saya mahu pastikan pelanggan berpuas hati."

Menceritakan lagi; "Saya juga akan pergi ke warung-warung dan merasa makanan. Jika sedap saya akan pelawa mereka buka di tempat saya."

"Saya cukup suka soto pakcik di belakang Hotel Concorde KL. Banyak kali saya minta dia buka di tempat saya, tapi dia tak mahu dan nak jual di warung kaki lima juga. Macam-macam alasan dia bagi."

"Saya pernah minta orang kita buat makanan Indonesia seperti sup bakso dan lain-lain di food court saya. Malangnya mereka takut mahu mencuba. Memanglah sewanya mahal iaitu antara RM15,000 ke RM20,000 bagi satu ruang niaga, tapi untungnya boleh mencecah sehingga RM250,000 sebulan.
Sedih sekali, katanya; "Mereka takut ambil risiko."

"Akhirnya seorang pemuda Cina dari Kelantan mengambil cabaran itu dan kini dia mengendalikan sembilan ruang niaga makanan Indonesia di merata tempat yang saya uruskan," kata Taib, anak seorang askar dari Taiping.

Saya mahu usahawan bumiputera terbabit dalam bidang makanan ini. Malah Taib turut menguruskan program pembangunan usahawan untuk mereka melalui Perbadanan Usahawan Malaysia Berhad (PUNB).

Dengan pengalaman Taib yang cukup luas dalam pasaran modal, beliau cukup kreatif dalam mengembangkan perniagaannya. Beliau pernah menjadi Auditor Dalaman di Harpers Gilfillan Sdn. Bhd. serta beberapa institusi kewangan seperti di Malaysia Discount Berhad, Affin Discount Berhad dan Harlow's Ueeda Sasson.

Namun, Taib bukanlah seorang yang pentingkan diri sendiri. Beliau ialah contoh seorang usahawan yang mencipta usahawan-usahawan bumiputera lain.

Bayangkan jika ada usahawan besar Melayu sepertinya yang mampu mengasuh usahawan-usahawan lain untuk berjaya dalam perniagaan.

"Jika mereka berjaya, saya juga berjaya," katanya bersungguh-sungguh.

Akhir sekali pada ucapan ringkas di majlis doa selamatnya semalam, beliau yang kelihatan berpeluh mahu memastikan majlisnya berjalan lancar berkata; "Moto saya ialah: Kalau makan sedap beritahu kawan-kawan, jika tak sedap beritahu saya."

Tahniah Encik Taib - Seorang lagi produk UiTM yang berjaya!
Kongsi Konten di :

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140806/re_06/Tahniah-Taib-Ali---raja-medan-selera-negara#ixzz3Quuk4Jql
© Utusan Melayu (M) Bhd