Walaupun Sesekali Gigi Tergigit Lidah

ARKIB : 11/10/2009

Walaupun sesekali gigi tergigit lidah

Oleh: Mazlan Nordin

KEMELESETAN ekonomi Amerika mulai setahun lalu yang merebak ke beberapa negara lain tidak begitu parah akibatnya berbanding "Wall Street Crash 1929", demikian menurut beberapa pihak. Pelbagai hal dipelajari oleh negara-negara yang terjejas, termasuk Malaysia oleh semua pihak termasuk kerajaan, tokoh-tokoh politik, pakar-pakar ekonomi dan akademik, tokoh-tokoh korporat serta kesatuan-kesatuan sekerja. Juga oleh pihak media massa.

Kebimbangan demi kebimbangan disuarakan pada mulanya mengenai kegawatan ekonomi, rumah-rumah diambil balik oleh pihak bank dan lain-lain kerana pemilik tidak mampu membayar balik pinjaman. Juga mengenai kian ramai para pekerja dibuang kerja dan menganggur.

Dalam ingatan ialah laporan mendiang Lee Siew Yee (Tan Sri), kemudian Ketua Pengarang New Straits Times, yang disegani kerana keinsafan mengenai keperluan-keperluan masyarakat pelbagai kaum. Lanjutan dari kemerosotan ekonomi Wall Street 1929, beliau menulis mengenai pelbagai akibat kepada para pekerja dan buruh. Beliau mengisahkan antara lainnya: "Para penumpang kereta yang melintasi negeri Perak melihat di kiri kanan jalan raya beratus-ratus keluarga penoreh getah yang telah dibuang kerja oleh estet-estet getah yang tidak lagi beroperasi. Mereka duduk atau bercanggung di tepi-tepi jalan, di kelilingi periuk belanga dan lain-lain yang mereka miliki.

Jauh dari jalan raya dan tidak kelihatan kepada yang lalu lintas ialah lain-lain yang menderita kerana kemiskinan akibat kemerosotan ekonomi. Mereka ialah keluarga para pekebun kecil pokok-pokok getah yang tidak ditoreh lagi. Kerana, tiada siapa mampu membeli getah mereka. Tidak siapa melaporkan nasib mereka. Tiada yang membuat laporan lengkap. "Demikian catatan Lee Siew Yee mengenai nasib penoreh getah India, Melayu dan Cina di waktu itu.

Ertinya pihak-pihak yang berkewajipan gagal melaksanakan tugas untuk memberitahu para pembaca, orang ramai seluruhnya dan juga pihak-pihak berkuasa. bagi akhbar apa yang berlaku ialah "urban bias" iaitu berita dan masalah di bandar-bandar diutamakan. Keciciran meliputi pelbagai hal di kampung-kampung dan daerah-daerah pedalaman.

Hal yang sama pernah berlaku di Amerika pada masa dahulu, umpamanya manakala akhbar-akhbar gagal melaporkan penghijrahan ratusan ribu kaum kulit hitam, iaitu dari bahagian selatan tempat mereka menjadi hamba abdi kulit putih. Mereka beramai-ramai pindah kebahagian utara Amerika. Ini berlaku setelah tamat perang saudara di antara Utara dan Selatan bersabit pengabdian warga kulit hitam.

Kegagalan akhbar-akhbar Amerika melaporkan hal tersebut didedah kemudian oleh para sejarawan. Bagi para wartawan umumnya ialah peringatan supaya sentiasa mengamati pelbagai hal yang menyentuh rakyat walau apa juga kedudukan dalam masyarakat. Lalu diulangi juga fungsi sosial media massa untuk memupuk kesedaran rakyat pelbagai kaum sebagai satu bangsa.

Oleh kerana berita buruk atau sensasi dianggap lebih melariskan jualan akhbar atau bilangan para penonton televisyen, maka timbul kepincangan dalam masyarakat pelbagai kaum. Dalam pada itu gembong-gembong politik berulang-ulang cuba mencetuskan rasa sedih, gundah dan prasangka buruk antara kaum. Ingatan juga ditujukan kepada yang dipanggil bloggers dengan agenda masing-masing.

Seperti diketahui ratusan juta dolar telah diperuntukan oleh kerajaan Amerika pada mulanya dan kerajaan-kerajaan lain di Eropah dan Asia, termasuk China, Jepun dan Malaysia untuk rangsangan ekonomi masing-masing. Yang seumpama tiada berlaku berikutan kemelesetan ekonomi 1929 dulu.

Wajar dicatat dalam konteks masa kini ialah bantuan yang diatur di Malaysia oleh Utusan Melayu dan Maybank, NSTP dan Media Prima untuk ribuan mangsa gempa bumi di Sumatera dan mangsa banjir besar di Filipina. Dalam keadaan kegawatan ekonomi di pelbagai negara bantuan tersebut amat diperlukan apatah lagi antara jiran-jiran yang sesetengahnya seketurunan dan agama serta kebudayaan yang sama. Walaupun sesekali gigi tergigit lidah, seperti kata bijak bistari.

- Tan Sri Mazlan Nordin ialah Karyawan Tamu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dipetik untuk pendidikan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan