Kejayaan Malaysia dan Cabaran yang Menanti

ARKIB : 17/05/2009

Kejayaan Malaysia dan cabaran yang menanti

Mazlan Nordin

KADANG kala ditanya ialah betapa Malaysia diukur kemajuannya dalam pelbagai bidang setelah sekian lama merdeka. Antara jawapan masa kini ialah laporan lengkap berjudul From Kampung to Twin Towers, karya Dr. Richard Leete, seorang pegawai expatriate yang pernah berkhidmat di Malaysia dan kemudian menjadi pegawai kordinasi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Pada permulaannya beliau mencatat betapa Malaysia telah berubah sama sekali dari sebuah negara miskin dan pertanian menjadi negara moden dan penuh bangga kerana kemajuan pesat yang dicapai.

Bilangan penduduk, umpamanya telah meningkat lebih daripada dua pertiga dari 7.4 juta pada tahun 1957 hingga 13.7 juta pada tahun 1980 dan 26.1 juta pada tahun 2005. Bilangan mereka lebih ramai dari penduduk Australia dan New Zealand.

Bilangan warga bumiputera meningkat daripada kira-kira setengah pada tahun 1957 hingga dua pertiga menjelang peralihan abad. Pada masa yang sama bilangan warga Cina menurun daripada 37 peratus kepada 26 peratus dan bilangan warga India daripada 11 peratus kepada 8 peratus.
Lantas disebut betapa kian meluasnya rasa identiti nasional dari masa lampau kerana sebilangan besar bukan Melayu lahir dan membesar di Malaysia dan kebanyakan para pekerja asing memilih untuk bermastautin sebagai bumiputera.

Juga disebut betapa Malaysia dapat mengatasi beberapa krisis besar sama ada dari luar atau dalam negeri. Ketika mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, negara menghadapi darurat (1948-60), iaitu pemberontakan Parti Komunis Malaya. Seperti diakui penyokong-penyokongnya mahu mendirikan sesuatu republik komunis.

Lain-lain cabaran berlaku selanjutnya, termasuk konfrontasi Indonesia pada tahun 1962-1966, pemisahan Singapura dari Malaysia, pada tahun 1965, rusuhan perkauman 1969, kepincangan ekonomi pada awal 1970-an dan pertengahan 1980-an. Demikian antara pelbagai cabaran yang dihadapi.

Kemiskinan

Dalam pada itu ialah kejayaan Dasar Ekonomi Baru anjuran Tun Abdul Razak untuk mengatasi masalah kemiskinan rakyat dan keadaan tidak seimbang antara kaum.

Di samping itu ialah pelancaran kereta Proton yang mulanya tidak dipersetujui oleh pelbagai pihak, termasuk daripada golongan akademik. Namun usaha tersebut terus berjaya. Selanjutnya dicatat ialah penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (1970), yang pertama menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama. Dan Universiti Putra Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Tekonologi Malaysia, Universiti Teknologi MARA, Universiti Teknologi Petronas, Universiti Tenaga Nasional. Universiti Tun Abdul Razak, Universiti Tunku Abdul Rahman. Antara lain-lain hal yang disebut:

l Bilangan universiti-universiti swasta meningkat sejak pertengahan 1990-an. Bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar utama. Ini akan memberi kelebihan kepada mereka dari universiti-universiti yang bahasa pengantarnya bahasa Melayu, terutama bila bersaing untuk mendapatkan para pelajar antarabangsa. Bilangan para pelajar bukan - bumiputera akan mengatasi yang lain di peringkat institusi swasta. Pertanyaan: Betapa nanti bila bersaing mencari kerja?

l Parlimen dipulihkan pada bulan Februari 1971, kira-kira 21 bulan setelah ditangguh sidangnya, Perlembagaan Malaysia dipinda untuk menghindarkan perbincangan terbuka berupa hasutan mengenai bahasa, kerakyatan, kedudukan orang Melayu dan status sultan.

l Dalam masa pemerintahan penjajah sebahagian besar kawasan-kawasan luar bandar tidak mendapat perhatian dalam rancangan pembangunan dan penduduknya, sebahagian besar Melayu, tidak mendapat kemudahan-kemudahan asas seperti di bandar, termasuk kemudahan ke sekolah-sekolah, bekalan elektrik dan air, kemudahan telekomunikasi dan kemudahan bagi yang sakit.
l Ketika kemerdekaan, kepentingan-kepentingan asing dan Cina hampir menguasai kekayaan korporat. Pada tahun 1970 kepentingan asing menguasai kekayaan korporat sejumlah 63 peratus, 27 peratus lagi oleh Cina dan hanya 2 peratus oleh bumiputera.

l Menjelang tahun 2007 hampir hapus kemiskinan orang Melayu. Rancangan-rancangan pembangunan luar bandar dan pertanian meningkat pendapatan para petani. Pelbagai struktur pelajaran, kesihatan dan kemudahan sosial meningkatkan cara hidup rakyat umumnya.

l Jumlah penduduk Malaysia dijangka meningkat hingga 28.4 juta pada tahun 2010 dan 33.1 juta pada tahun 2020. Menjelang tahun 2020, lebih daripada seorang dari tiap lima warga Malaysia akan tinggal di Sabah dan Sarawak.

Buku From kampung to Twin Towers (Oxford Fajar) memuatkan kata-kata pengantar Raja Nazrin Shah mengingatkan tentang perubahan-perubahan yang perlu dilakukan jika negara mahu terus makmur selama 50 tahun akan datang.

Lain-lain cabaran dan masalah telah pun muncul dewasa ini, termasuk pada peringkat negeri. Jika sudah maju dari kampung ke Twin Towers, betapa pula kemudian nanti?

Dipetik untuk pendidikan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan